1959 merupakan tahun bersejarah bagi penduduk Tanjong Karang dan sekitarnya kerana buat kali pertama kawasan ini mempunyai sekolah menengahnya sendiri yang dikenali sebagai Darjah Menengah Melayu Tanjong Karang (DMMTK) yang bertempat di bangunan Sekolah Umum Batu 7 Tanjong Karang. Penubuhan DMMTK ini bermula pada penggal dua persekolahan tahun 1959. Penubuhan rasmi dilakukan oleh Tuan Penolong Pegawai Daerah Kuala Selangor Dato’ Raden Soenarno bin Radin Soenarso pada 1 Mei 1959.
Pada peringkat permulaan Cuma terdapat sebuah sahaja kelas tingkatan satu yang menempatkan 40 orang pelajar ( 26 pelajar lelaki dan 14 pelajar perempuan). DMMTK pada ketika itu mempunyai 3 orang tenaga pengajar sahaja termasuk Guru Ketuanya, Encik Othman bin Kasmadi. DMMTK berasa amat bersyukur kerana sentiasa mendapat kerja sama dari Encik Maaruf bin Hj. Othman (Guru Besar Sekolah Umum Tanjong Karang).
Pada tahun 1960 DMMTK mempunyai dua bilik darjah iaitu satu bilik tingkatan satu dan satu bilik tingkatan dua. Tahun 1961 Peperiksaan SRP yang pertama dilalui dengan kelulusan 65.9%. Mereka yang layak memasuki tingkatan empat terpaksa melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kelang, Selangor. Keputusan peperiksaan SRP seterusnya meningkat iaitu pada tahun 1960 mencapai 78.4% dan pada tahun 1963 mencapai 93%.
Kejayaan ini telah menarik perhatian pihak Kementerian Pelajaran untuk membina sebuah sekolah menengah di tapak yang baru. Pada tahun 1964 bermulalah kerja-kerja membersihkan kawasan seluas 10 ekar di Batu 8, Tanjong Karang untuk membangunkan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan bagi menggantikan DMMTK. Kebetulan pada tahun tersebut jumlah pelajar telah meningkat kepada 275 orang dengan jumlah kelas yang diperlukan sebanyak 7 buah. Dengan usaha Pejabat Pelajaran Selangor dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Hwa Kiew Tanjong Karang (pelajar-pelajar Tingkatan Satu DMMTK akan menumpang di sekolah tersebut di sebelah petang selama 6 hari seminggu.
Pada 2 Januari 1965 pentadbiran dan pelajar DMMTK telah berpindah ke bangunan baru di Batu 8 Tanjong Karang dengan nama barunya Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Karang. Ketika ini terdapat 2 bilik pejabat sekolah, 26 bilik darjah, 2 bilik makmal, 2 bilik SRT, 4 bilik pertukangan kayu dan logam dan 1 blok asrama.
Buat pertama kalinya pelajar-pelajar Tingkatan 5 mengambil Peperiksaan SPM pada tahun 1965. Sekolah ini telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato' Harun bin Hj. Idris (Menteri Besar Selangor) pada 20 Julai 1968 dan sempena dengan upacara perasmian ini nama sekolah telah diubah kepada Sekolah Dato’ Harun Tanjong Karang.
Peningkatan jumlah pelajar menyebabkan satu blok baru dibina pada tahun 1973 di sebelah asrama sekolah yang terdiri dari 3 bilik makmal, 3 bilik darjah, 1 bilik perpustakaan.
Mulai tahun 1979 SDH memulakan pengambilan pelajar Tingkatan 6 Rendah. Pada tahun 1980 dibina sebuah Dewan besar, satu blok bilik darjah 3 tingkat, satu blok bilik darjah dan makmal dua tingkat dan satu lagi blok asrama tiga tingkat.
Pada tahun 1999, tiga tingkat blok makmal dan bilik darjah telah siap dibina dan digunakan.Semoga SDH akan terus berkembang dan maju sebagai sekolah yang berkualiti.
No comments:
Post a Comment