Sunday, April 17, 2016

Bicara hadis

1) Terlewat Sampai Ke Masjid Tetap Mendapat Pahala Berjemaah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ وُضُوءَهُ ثُمَّ رَاحَ فَوَجَدَ النَّاسَ قَدْ صَلَّوْا أَعْطَاهُ اللَّهُ جَلَّ وَعَزَّ مِثْلَ أَجْرِ مَنْ صَلَّاهَا وَحَضَرَهَا لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أَجْرِهِمْ شَيْئًا

Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya kemudian ia pergi ke masjid, lalu ia dapati orang-orang sudah selesai mengerjakan solat maka Allah memberikan pahala kepadanya sebagaimana pahala orang yang sudah solat (berjemaah), tidak dikurangi sedikitpun dari ganjaran yang mereka perolehi”. HR Abu Daud No. 477

Pengajaran:

1.  Wuduk perlu disempurnakan di rumah sebelum pergi ke masjid untuk solat berjemaah.

2.  Orang yang menyempurnakan wuduk dan pergi kemasjid untuk solat berjemaah, namun sesampainya ke masjid, solat telah selesai dikerjakan. Dia tetap mendapat pahala solat berjemaah dan tidak dikurangi sedikit pun.
 
Ayuh sempurnakan wuduk di rumah dan pergi ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Moga kita dapat pahala berganda dengan perlakuan tersebut.

#########################

2) Ribat Menghapuskan Dosa & Tingkatkan Darjat

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُوْ اللهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِالدَّرَجَاتِ ؟ قَالُوْا : بَلَى يَا رَسُوْلَ اللهِ ، قَالَ : اِسْبَاغُ الْوُضُوْءِ عَلَى الْمَكَارِهِ ، وَكَثْرَةُ الْخُطَا اِلَى الْمَسَاجِدِ ، وَانْتِظَارُ الْصَّلاَةِ بَعْدَالصَّلاَةِ ، فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ ،فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ ،فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ.

“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah SAW bersabda: Mahukah aku tunjukkan kepada kamu beberapa perkara yang dengannya Allah akan menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat derajat kamu? Mereka menjawab: Mahu wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Iaitu menyempurnakan wuduk walau dalam keadaan susah (Kalimah مكاره yang jamaknya مكره ialah keadaan susah/sulit untuk mengerjakan wuduk, seperti dalam keadaan sakit atau terlalu sejuk), sering berjalan ke masjid (solat jamaah) dan menunggu solat setelah selesai menunaikan solat. Yang demikian itu adalah ribat (jihad/perjuangan), yang demikian itu ribat, yang demikian itu ribat”. HR Muslim No: 133

Pengajaran:

Allah menghapuskan dosa dan mengangkat darjat apabila seseorang itu melakukan ribat (jihad/perjuangan): 

a.  menyempurnakan wuduk walau dalam keadaan susah atau sulit.

b.  berjalan ke masjid untuk solat jamaah.

c.  menunggu solat waktu seterusnya setelah selesai menunaikan solat

#########################

3)   Menangisi kematian

Dari Anas r.a katanya: "Bahawa Rasulullah SAW pernah masuk menemui anaknya, Ibrahim dalam keadaan beliau sedang sesak nafasnya (saat menghadapi sakaratulmaut). Lalu, kedua-dua mata Rasulullah SAW menitiskan air mata.
Maka, Abdurrahman bin 'Auf berkata, 'Tuan juga wahai Rasulullah (tidak dapat bersabar atas musibah ini)?'
Baginda menjawab, 'Wahai Ibnu 'Auf, sesungguhnya ia (air mata yang mengalir) adalah bukti kasih sayang.' Kemudian Baginda menangis lagi.
Baginda bersabda, 'Sesungguhnya mata boleh menangis dan hati boleh bersedih, tetapi kita tidak boleh mengucapkan sesuatu kecuali ia boleh mendatangkan keredhaan Tuhan kita. Wahai Ibrahim, sesungguhnya kami berasa sedih disebabkan perpisahan denganmu.'"

[Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari]

Keterangan:
Hadis di atas menerangkan bahawa Rasullullah SAW sendiri menangis apabila menghadapi saat-saat sedih menghadapi seseorang disayangi yang hendak meninggal dunia dan dilanda musibah. Tetapi sama sekali dilarang meratap dan mengeluarkan perkataan (kecelakaan dan kebinasaan) seolah-olah mempertikaikan takdir dari Allah SWT.....Wallahu'Alam

(Ringkasan Riyadhus Shalihin Imam An-Nawawi)

#########################

4) Bertaqwa  dan Berakhlak Mulia

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Dari Abu Dzar ia berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertaqwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap perbuatan dosa dengan amal kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan dosa. Bergaullah dengan  manusia dengan akhlak yang baik." (HR Tirmizi No: 1910)

Pengajaran:

1.  Sebagai Muslim, kita perlu sentiasa bertaqwa dimana sahaja kita berada dengan berusaha melaksanakan segala perintah dan berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan larangan Allah.

2.  Abu Darda: Taqwa yang paling sempurna ialah seorang hamba yang takut kepada Allah hinggakan dalam urusan seberat zarahpun dia masih takut. Setengah perkara yang halal pun ditinggalkan kerana takut ia menjadi haram.

3.  Jika kita melakukan perbuatan dosa, bersegeralah melakukan amal kebaikan agar ia boleh menjadi penghapus dosa seperti beristighfar, berwuduk, solat, sedekah dan sebagainya.

4.  Bergaullah dengan manusia sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sepejabat mahupun anggota masyarakat yang Muslim dan Non Muslim dengan akhlak terpuji.

5.  Akhlak yang baik adalah bukti taqwa seseorang.

#########################

5) Berbuat Baik Walaupun Kepada Binatang

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَنَزَلَ بِئْرًا فَشَرِبَ مِنْهَا ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنْ الْعَطَشِ فَقَالَ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي فَمَلَأَ خُفَّهُ ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ ثُمَّ رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا قَالَ فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Dari Abu Hurairah radliallahu 'anhu bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Ada seorang laki-laki yang sedang berjalan lalu dia merasakan kehausan yang sangat sehingga dia turun ke suatu perigi lalu minum dari air perigi tersebut. Ketika dia keluar dari perigi, didapatkannya seekor anjing yang sedang menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah karena kehausan. Orang itu berkata: "Anjing ini sedang kehausan seperti yang aku alami tadi". Maka dia (turun kembali ke dalam perigi) dan diisi kasutnya dengan air dan sambil menggigit kasutnya dengan mulutnya dia naik keatas lalu memberi anjing itu minum. Kemudian dia bersyukur kepada Allah maka Allah mengampuninya". Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah kita akan dapat pahala dengan berbuat baik kepada haiwan?" Baginda SAW menjawab: "Terhadap setiap makhluk bernyawa diberi pahala". (HR Bukhari No: 2190)

Pengajaran:

1.  Berbuat baik adalah dituntut kepada setiap Muslim.

2.  Perbuatan baik akan mendapat balasan pahala walaupun kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan. Seperti memberi binatang minum atau menyiram pokok.

3.  Allah mengampunkan dosa orang yang membantu haiwan yang kehausan untuk minum.

Berbuat baiklah sama ada sesama kita, kepada orang bukan Islam mahupun kepada binatang dan tumbuhan.

#########################

6) Golongan Manusia Yang Mendapat Naungan Di Hari Akhirat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ اللَّهِ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ فِي خَلَاءٍ فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسْجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ إِلَى نَفْسِهَا قَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا صَنَعَتْ يَمِينُهُ

Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW bersabda; "Ada tujuh golongan yang Allah melindungi mereka dalam lindungan-NYA pada hari kiamat, di hari ketika tiada perlindungan selain perlindungan-NYA, iaitu; imam yang adil, pemuda yang sentiasa dalam beribadah kepada Allah, seseorang yang senantiasa mengingat Allah ketika bersendirian sehingga matanya berlinang, seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, seseorang yang diajak berzina oleh wanita bagsawan dan rupawan, namun ia menjawab; 'Saya takut kepada Allah', serta seseorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak tahu terhadap amalan tangan kanannya." (HR Bukhari No:  6308)

Pengajaran:

Tujuh golongan yang mendapat perlindungan pada  hari yang tiada perlindungan selain perlindungan Allah di hari kiamat:

1.  Pemimpin yang adil,
2.  Pemuda yang sentiasa dalam beribadah kepada Allah,
3.  Seseorang yang sentiasa mengingati Allah ketika bersendirian sehingga  berlinang air matanya.
4.  Seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid,
5.  Dua orang yang saling mencintai kerana Allah,
6.  Seseorang yang diajak berzina oleh wanita berkedudukan dan cantik, namun ia menjawab; 'Saya takut kepada Allah'
7.  Seseorang yang bersedekah secara bersembunyi, sehingga tangan kirinya tidak tahu terhadap amalan tangan kanannya

Tempatkanlah diri menjadi golongan yang mendapat perlindungan Allah di hari kiamat.

#########################

7) Setiap Pemberian Makanan Itu Sedekah

عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَطْعَمْتَ نَفْسَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ وَلَدَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ زَوْجَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ خَادِمَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ

Dari Al-Miqdam bin Ma'di Karib berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Jika kamu memberi makan pada diri kamu, maka itu menjadi sedekah bagimu, jika kamu memberi makan pada anakmu maka itu menjadi sedekah bagimu, jika kamu memberi makan pada isterimu maka itu menjadi sedekah bagimu, jika kamu memberi makan pada pelayanmu maka itu menjadi sedekah bagimu." (HR Ahmad No: 16550)

Pengajaran:

Sedekah mempunyai ruang yang amat luas antaranya memberi atau menyediakan makanan. Setiap makanan yang  di sumbang kepada orang lain, ia menjadi pahala  sedekah.  Antaranya makanan yang kita beri untuk:

a.  Keperluan diri
b.  Anak
c.  Isteri
d.  Pembantu

Kesemua itu menjadi ganjaran sedekah untuk kita.                                                   Berilah makan kepada yang berhak untuk mendapatkannya, terutama pemberian yang menjadi tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga. Sama ada untuk diri, anak, isteri dan pembantu.

#########################

8 )Sedekah Mengikut Keutamaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَدَّقُوا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ أَنْتَ أَبْصَرُ

Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekahlah kalian", lalu seseorang berkata ya Rasulullah aku hanya memiliki satu dinar, baginda menjawab: "Bersedekahlah dengannya untuk dirimu, " ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk isterimu, " ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk anakmu, " ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk pembantumu, " ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Engkau lebih tahu yang berhak engkau beri." (HR Nasai No: 2488)

Pengajaran:

1.  Rasulullah menganjurkan agar kita bersedekah jika memiliki harta. Setiap yang dibelanjakan kepada orang lain, ia akan mendapat pahala  sedekah.

2.  Jika kita memiliki harta atau wang ringgit, belanjakanlah untuk keperluan mengikut keutamaan dengan mendahului untuk :

a.  Diri sendiri – (menunaikan hak tubuh badan seperti makanan dan pakaian yang wajib). Jika ada lebihan, boleh diberi kepada;

b.  Isteri – (keperluan isteri yang menjadi tanggungjawab suami sama ada yang wajib mahupun yang sunat). Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

c.  Anak – (keperluan anak-anak seperti makan minum, pelajaran dll), Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

d.  Pembantu. Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

e.  Mereka yang dirasakan layak dan berhak mengikut keutamaan.

Bersedekah mengikut keutamaan kepada yang berhak.

#########################

8) Tangan Diats Lebih Baik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَالْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Sebaik-baik sedekah adalah setelah cukup keperluan, dan tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah, dan mulailah dari orang yang menjadi tanggunganmu." HR Ahmad No: 10366)

Pengajaran:

1.  Sebaik-baik sedekah apabila keperluan diri telah dipenuhi

2.  Orang yang bersedekah lebih utama daripada yang menerima

3.  Sedekah itu adabnya dimulakan dengan memberi kepada yang  menjadi tanggungan kita  - iaitu: ibu bapa, isteri, anak-anak serta adik beradik.

Jadilah kita sebagai pemberi bukan peminta.

#########################

9) Berwasiat Harta

عَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا بِمَكَّةَ وَهُوَ يَكْرَهُ أَنْ يَمُوتَ بِالْأَرْضِ الَّتِي هَاجَرَ مِنْهَا قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ ابْنَ عَفْرَاءَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ قَالَ لَا قُلْتُ فَالشَّطْرُ قَالَ لَا قُلْتُ الثُّلُثُ قَالَ فَالثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ وَإِنَّكَ مَهْمَا أَنْفَقْتَ مِنْ نَفَقَةٍ فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ حَتَّى اللُّقْمَةُ الَّتِي تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ وَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَكَ فَيَنْتَفِعَ بِكَ نَاسٌ وَيُضَرَّ بِكَ آخَرُونَ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ يَوْمَئِذٍ إِلَّا ابْنَةٌ

Dari Sa'ad bin Abi Waqosh radliallahu 'anhu berkata; Nabi SAW datang menjengukku (ketika aku sakit) ketika aku berada di Makkah". Dia tidak suka bila meninggal dunia di negeri dimana dia sudah berhijrah darinya. Baginda bersabda; "Semoga Allah merahmati Ibnu 'Afra'". Aku katakan: "Wahai Rasulullah, aku mau berwasiat untuk menyerahkan seluruh hartaku". Baginda bersabda: "Jangan". Aku katakan: "Setengah darinya" Baginda  bersabda: "Jangan". Aku katakan lagi: "Sepertiga darinya". Baginda bersabda: "Ya, sepertiganya dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin lalu mengemis kepada manusia dengan menadahkan tangan mereka. Sesungguhnya apa saja yang kamu keluarkan berupa nafkah sesungguhnya itu termasuk sedekah sekalipun satu suapan yang kamu masukkan ke dalam mulut isterimu. Dan semoga Allah mengangkatmu dimana Allah memberi manfaat kepada manusia melalui dirimu atau memberikan mudarat orang-orang yang lainnya". Ketika itu dia (Sa'ad) tidak memiliki ahli waris kecuali seorang anak perempuan. (HR Bukhari No: 2537)

Pengajaran:

1.  Berwasiat adalah satu daripada sunnah Rasulullah dan mengikut ijmak ulama hukumnya sunat muakad.

2.  Harta yang di wasiatkan  untuk pembinaan masjid, sekolah dan sebagainya merupakan satu cara agar harta yang ditinggalkan boleh menjadi penerus amal yang mendapat ganjaran pahala berterusan kepada pewasiat.

3.  Wasiat yang dibenarkan, tidak boleh melebihi 1/3 daripada jumlah harta.

4.  Meninggalkan ahli waris dalam keadaan berharta itu lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan akhirnya menjadi pengemis.

5.  Nafkah yang dikeluarkan termasuk menyuapkan makanan kemulut isteri merupakan salah satu daripada amal solleh.

#########################

10) Mukmin Paling Sempurna & Paling Baik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ خُلُقًا

Dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW  bersabda: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap para isterinya." (HR Tirmidzi No: 1082)

Pengajaran:

1.  Mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya.

2.  Mukmin yang paling baik adalah yang paling baik terhadap isterinya.

3.  Berusahalah memiliki akhlak yang baik terhadap Allah dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan.

4.  Hiasilah diri dengan akhlak yang mulia terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara dan alam.

5.  Berusahalah menjadi suami yang paling baik terhadap isteri dengan melaksanakan tanggungjawab dan membimbing isteri ke syurga melalui akhlak terbaik.

#########################

11) Berbuat Baik Kepada Wanita

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِي جَارَهُ وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا فَإِنَّهُنَّ خُلِقْنَ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا

Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan juga kepada hari akhirat, maka janganlah ia menyakiti tetangganya. Pergaulilah kaum wanita dengan baik, sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagian yang paling bengkok daripada tulang rusuk adalah bahagian paling atas. Jika kamu meluruskannya dengan (memaksa), niscaya kamu akan mematahkannya, namun jika kamu membiarkannya maka ia pun akan selalu dalam keadaan bengkok. Kerana itu pergaulilah wanita dengan penuh kebijakan." (HR Bukhari No: 4787)

Pengajaran:

1.  Orang yang beriman akan sentiasa berbuat baik dengan jiran tetangga.

2.  Lelaki yang beriman sama ada sebagai bapa, suami mahupun saudara lelaki perlu sentiasa bersifat RAHMAH dengan berbuat baik kepada wanita sama ada anak perempuan, isteri mahupun adik beradik perempuan.

3.  Tanggung jawab lelaki adalah membimbing isteri ataupun anak perempuannya dengan penuh kasih sayang.

4.  Lelaki perlu berbuat baik terhadap kaum wanita, tidak menzalami mereka dan memberikan hak-hak mereka.

5.  Wanita dicipta dari tulang rusuk lelaki, untuk dijadikan pasangan dan pendamping yang mampu menjadikan lelaki lebih kuat dan hebat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah.

6.  Peranan wanita sebagai penyempurna rumah tangga. Perempuan yang hebat, daripadanya lahir anak-anak yang hebat.

#########################

12) Biasakan Sifat Jujur dan Jauhi Dusta

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ فَإِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَصْدُقُ وَيَتَحَرَّى الصِّدْقَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ صِدِّيقًا وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَمَا يَزَالُ الْعَبْدُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Dari Abdullah bin Mas'ud ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kalian bersikap jujur, kerana kejujuran itu akan membawa pada kebaikan, sedangkan kebaikan akan membawa kepada syurga. Tidaklah seorang bersikap jujur dan selalu berbuat jujur hingga ia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Dan hendaklah kalian menjauhi sikap dusta, kerana kedustaan itu akan membawa pada kekejian, sedangkan kekejian akan membawa kepada neraka. Dan tidaklah seorang berbuat dusta dan selalu berdusta hingga ia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (HR Tirmizi No: 1894)

Pengajaran:

1.  Berlaku jujurlah kerana sifat jujur membawa kebaikan dan setiap kebaikan membawa ke syurga

2.  Orang yang sentiasa bersikap jujur nescaya jujur itu akan menjadi tabiat dan akhlaknya.

3.  Setiap kita perlu menjauhi sikap dusta dan bohong. Pendustaan dan pembohongan merupakan perbuatan dosa dan maksiat akan membawa kepada neraka.

4.  Orang yang selalu berdusta, nescaya sifat berdusta dan berbohong itu akan menjadi kebiasaan dan akhlaknya.

Jadilah kita seorang yang membiasakan sifat jujur dalam kehidupan. Jangan sekali-kali kita membiasakan perbuatan berdusta kerana dibimbangi Allah menetapkan sifat itu kekal dan menjadi kebiasaan kita.

#########################

13) Paling Sempurna Iman

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ

Dari Aisyah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda; "Sesungguhnya termasuk orang yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan paling lembut terhadap keluarganya." (HR Tirmizi No: 2537)

Pengajaran:

Antara ciri orang yang paling sempurna imannya ialah:
1.  Orang yang paling baik akhlaknya:

a.  Berakhlak mulia kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangan
b.  Berakhlak terpuji kepada diri, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan Negara
c.  Berakhlak terpuji dengan makhluk Allah yang lain sama ada tumbuhan, binatang dan sebagainya.

2.  Orang yang paling lembut terhadap keluarganya:

a.  Paling lembut dan penyayang kepada ibu bapa sama ada ketika masih hidup mahupun selepas kematian
b.  Paling lembut dan penyayang kepada pasangan sama ada isteri atau suami, saling mengasihi, memberi dan menerima
c.  Paling lembut dan penyayang kepada anak-anak dengan mendidik dan mengasuh sebaik mungkin untuk menjadi anak-anak yang solleh dan solehah.
d.  Paling lembut dan penyayang kepada ahli keluarga yang lain

Bersifat RAHMAH, menjadi orang yang paling baik akhlak dan paling baik kepada keluarga. Moga kita menjadi orang yang paling sempurna imannya

#########################

14) Rasulullah Paling Banyak Puasa Sunat Bulan Syaaban

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا
Dari Abu Salamah bahwa 'Aisyah radliallahu 'anha menceritakan kepadanya, katanya: "Rasulullah SAW tidak pernah melaksanakan puasa lebih banyak dalam sebulan selain bulan Syaaban, yang Baginda melaksanakan puasa bulan Syaaban seluruhnya. Baginda bersabda: "Lakukanlah amal-amal yang kalian sanggup melaksanakannya, karena Allah tidak akan berpaling (dalam memberikan pahala) sampai kalian yang lebih dahulu berpaling (dari mengerjakan amal) ". Dan solat yang paling Nabi SAW cintai (solat sunat) adalah solat yang dijaga kesinambungannya sekalipun sedikit. Dan Baginda bila sudah biasa melaksanakan solat (sunnat) baginda menjaga kesinambungannya".(HR Bukhari No: 1834)

Pengajaran:

1.  Rasulullah  SAW contoh dalam beribadat.

2.  Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain (kadangkala puasa penuh  sebulan).

3.  Allah tetap memberikan ganjaran pahala selagi mana kita melaksanakan amal solleh.

4.  Rasulullah SAW mencintai orang yang melakukan solat sunat yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit.

Apabila memasuki bulan Syaaban, laksanakan sebanyak mungkin puasa sunat di bulan ini sebagai persiapan kedatangan Ramadan juga solat sunat di malam hari sebagai persiapan menghidupkan malam di bulan Ramadan.

#########################

15) Syaaban Bulan Diangkat Amal

عَنْ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Usamah bin Zaid berkata; Aku bertanya; "Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di bulan Syaaban?" Baginda bersabda: "Itulah bulan yang manusia lalai darinya; ia bulan yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang disana berisikan berbagai amal untuk dibawa naik kepada Rabb semesta alam, aku suka amalku diangkat ketika aku sedang berpuasa." (HR an-Nasai No: 2317)

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW berpuasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban

2.  Bulan Syaaban adalah bulan yang kebanyakan manusia lalai untuk mempertingkatkan amal solleh.

3.  Setiap hari amalan kita akan diangkat ke langit, ada amalan kita yang akan dibawa naik kepada Allah pada bulan Syaaban.

4.  Rasulullah SAW suka jika amalnya diangkat ketika dia berpuasa.

Rebutlah peluang memperbanyakkan puasa sunat di bulan Syaaban ini.

#########################

16) Mukmin Yang Utama dan Paling  Bijak

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا قَالَ فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الْأَكْيَاسُ

Dari Ibnu Umar bahwa dia berkata; Saya bersama dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang laki-laki Ansar kepada beliau, lalu dia mengucapkan salam kepada Nabi SAW dan bertanya; "Ya Rasulullah, bagaimanakah orang mukmin yang utama?" baginda menjawab: "Orang yang paling baik akhlaknya." Dia bertanya lagi; "Orang mukmin yang bagaimanakah yang paling bijak?" baginda menjawab: "Orang yang paling banyak mengingat kematian, dan yang paling baik persiapannya setelah kematian, merekalah orang-orang yang bijak." (HR Ibnu Majah No: 4249)

Pengajaran:

1.  Mukmin yang utama adalah mereka yang paling baik akhlaknya.

2.  Mukmin yang paling bijak adalah yang paling banyak mengingati kematian dan sentiasa membuat persiapan untuknya.

Jadilah mukmin yang utama dan paling bijak.

#########################

17) Baca Tiga Surah Sebelum Tidur

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ نَفَثَ فِي كَفَّيْهِ بِقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَبِالْمُعَوِّذَتَيْنِ جَمِيعًا ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا وَجْهَهُ وَمَا بَلَغَتْ يَدَاهُ مِنْ جَسَدِهِ قَالَتْ عَائِشَةُ فَلَمَّا اشْتَكَى كَانَ يَأْمُرُنِي أَنْ أَفْعَلَ ذَلِكَ بِهِ

Dari 'Aisyah radliallahu 'anha dia berkata; "Apabila Rasulullah SAW hendak tidur, maka baginda akan meniupkan ke telapak tangannya sambil membaca QUL HUWALLAHU AHAD (Al-Ikhlas) dan Mu'awidzatain (An-Nas dan Al-Falaq), kemudian baginda mengusapkan ke wajahnya dan seluruh tubuhnya. Aisyah berkata; Ketika baginda sakit, baginda menyuruhku melakukan hal itu." (HR Bukhari No: 5307)

Pengajaran:

1.  Rasulullah mengajar dalam setiap perlakuan seorang Muslim, ada adab yang perlu dilakukan termasuk ketika hendak tidur.

2.  Antara adab sebelum tidur ialah membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas kemudian ditiup ditapak tangan dan di sapu ke muka dan seluruh tubuh,

3.  Boleh membacakan untuk orang lain dan disapu pada tubuhnya contohnya dibaca kepada kanak-kanak juga orang yang sakit.

4.  Tiga surah ini dibaca tiga kali setiap satu dan ia boleh menjadi pelindung dari makhluk.

إقراء قل هو الله أحد , والمعوذتين حين تمسي و حين تصبح , ثلاث مرات تكفيك من كل شيء

"Bacalah Qul Huwa Allahu Ahad" (al-ikhlas) dan (surah an-Nas) dan (surah al-falaq) sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang, ia mampu mencukupkan kamu dari segala sesuatu (HR Abu Daud no: 3570)

Amalkanlah sunnah Rasulullah sebelum tidur dengan membaca tiga surah ini.

#########################

18) Syaaban Bulan Diangkat Amal

عَنْ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Usamah bin Zaid berkata; Aku bertanya; "Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di bulan Syaaban?" Baginda bersabda: "Itulah bulan yang manusia lalai darinya; ia bulan yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang disana berisikan berbagai amal untuk dibawa naik kepada Rabb semesta alam, aku suka amalku diangkat ketika aku sedang berpuasa." (HR an-Nasai No: 2317)

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW berpuasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban

2.  Bulan Syaaban adalah bulan yang kebanyakan manusia lalai untuk mempertingkatkan amal solleh.

3.  Setiap hari amalan kita akan diangkat ke langit, ada amalan kita yang akan dibawa naik kepada Allah pada bulan Syaaban.

4.  Rasulullah SAW suka jika amalnya diangkat ketika dia berpuasa.

Rebutlah peluang memperbanyakkan puasa sunat di bulan Syaaban ini.

#########################

19) Surah al-Ikhalas Menyamai Sepertiga Al-Quran

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ الْقُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ وَقَالُوا أَيُّنَا يُطِيقُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الصَّمَدُ ثُلُثُ الْقُرْآنِ

Dari Abu Sa'id Al Khudri radliallahu 'anhu, ia berkata; Nabi SAW bersabda kepada para sahabatnya: "Apakah salah seorang dari kalian tidak mampu membaca sepertiga dari Al-Quran pada setiap malamnya?" dan ternyata para sahabat merasa kesulitan seraya berkata, "Siapakah di antara kami yang mampu melakukan hal itu wahai Rasulullah?" maka baginda pun bersabda: "ALLAHUL WAAHID ASH SHAMAD (maksudnya surat al-ikhlas) nilainya adalah sepertiga Al Qur`an." (HR Bukhari No: 4628)

Pengajaran:

1.  Membaca al-Quran adalah amalan yang digalakkan kerana al-Quran menjadi petunjuk dan pemberi syafaat.

2.  Membaca surah al-Ikhlas sekali menyamai nilai satu pertiga daripada al-Quran.

3.  Orang yang membaca tiga kali surah al-Ikhlas menyamai dia membaca seluruh al-Quran.

Amalkanlah bacaan surah al-Ikhlas setiap hari.

#########################

20) Dicatat Kebaikan Sejumlah Mukmin & Mukminat Yang Didoakan Keampunan

عن عبادة بن الصامت ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ كَتَبَ اللهُ لَهُ بِكُلِّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ حَسَنَةً

“Siapa yang beritighfar (meminta ampunan) untuk orang-orang beriman laki-laki dan perempuan maka Allah akan mencatat kebaikan untuknya sebanyak kaum muminin dan mukminat.”(HR. al-Thabrani No : 2019) .

Pengajaran:

1.  Antara tuntutan iman adalah kewajipan memelihara ukhuwah sesama Mukmin.

2.  Satu daripada tanda ukhuwah dan mencintai saudara Mukmin yang lain ialah saling mendoakan kebaikan.

3.  Antara doa yang dititip ialah permohonan keampunan kepada sesama Mukmin. Berharap agar Allah memberikan ampunan atas dosa-dosa mereka dengan dihilangkan dosa tersebut dari mereka.

Antara lafaz doa keampunan untuk mukmin yang lain:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

“Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”.” (QS. Al-Hasy: 10)

4.  Orang yang mendoakan keampunan saudaranya, nescaya dia akan mendapat kebaikan sejumlah mukmin dan mukminat yang ada.

Doakan sahabat Mukmin kita agar kita juga mendapat kebaikkan sebanyak bilangan orang mukmin yang kita doakan keampunan.

#########################

21) Doa Yang Mustajab

فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Rasulullah SAW telah bersabda: 'Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim dari jauh tanpa diketahui olehnya akan dikabulkan. Di atas kepala orang Muslim yang berdoa  ada malaikat yang telah diutus menjaganya. Setiap kali ia berdoa untuk kebaikan bagi saudaranya, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan Amin (semoga Allah mengabulkan) dan bagi kamu juga akan mendapatkan seperti itu.' (HR Muslim No: 4914)

Pengajaran:

1.  Doa seorang Muslim untuk saudara Muslim tanpa diketahui oleh yang didoakan, nescaya akan dikabulkan Allah.

2.  Orang yang berdoa untuk saudara Muslim yang lain, akan ada malaikat yang mengaminkan doa tersebut dan Malaikat akan mendoakan kebaikan yang sama  untuk dirinya.

#########################

22) Bersahabat Dengan Orang Soleh

أَبُو بُرْدَةَ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Abu Burdah bin 'Abdullah berkata; Aku mendengar Abu Burdah bin Abu Musa dari bapaknya radliallahu 'anhu berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang yang bergaul dengan orang soleh dan orang yang bergaul dengan orang jahat seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Pasti engkau memperolehi bau yang wangi dari penjual minyak wangi sama ada kamu membeli minyak wanginya atau tidak, sedangkan dari tukang besi akan terasa bahang membakar badanmu atau kainmu, atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak enak".(HR Bukhari No: 1959)

Pengajaran:

1.  Bersahabatlah dengan orang soleh dan jauhi orang yang buruk perangainya.

2.  Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang yang soleh seperti berada disisi penjual minyak wangi, walaupun tidak membeli namun bau wangi tetap diperolehi.

3.  Sahabat yang soleh akan mendorong untuk menguatkan iman dan terus istiqamah karena kita akan terpengaruh dengan kelakuan baiknya serta bersemangat untuk beramal.

4.  Perumpamaan orang yang berkawan dengan orang yang jahat dan buruk perangai, seolah-olah dia berada di sisi pembakar besi. Walaupun dia tidak membakarnya, namun bahang panas tetap dirasai walaupun dah keluar dari tempat pembakaran besi.

Pastikanlah kita bersahabat dengan orang yang solleh dan tidak bersahabat dengan orang yang jahat.

#########################

23) Ganjaran Berganda Untuk Guru

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun." (HR Muslim No: 4831)

Pengajaran:

1.  Sesiapa sahaja yang berperanan mengajak serta menasihat kepada kebaikan, mereka adalah seorang guru.

2.  Orang yang mengajak, membimbing, menasihat, mengajar seseorang  agar melakukan perkara kebaikan, dia akan mendapat ganjaran pahala seperti mana yang didapati  oleh orang yang belajar dan beramal.

3.  Orang yang mengajar, membimbing dan menunjukkan yang buruk dan jahat, dia akan memperolehi ganjaran dosa sebanyak orang yang mengikuti dan beramal dengannya.

Sempena Hari Guru, ayuh kita menjadi guru - paling tidak kepada ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. JOM kita rebut peluang menyimpan deposit amal yang berterusan untuk akhirat kita dengan mendidik, mengasuh dan mengajar orang lain.  Hadis Rasulullah SAW:
إِذَامَاتَ الإِنسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّمِن ثَلاَثَةٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍصَالِحٍ يَدْعُولَهُ
“Apabila seseorang manusia mati, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat yang diajar dan anak solleh yang mendoakan untuknya” (HR Muslim No: 3084)

#########################

24) Guru Yang Menyampaikan Kebaikan Didoakan Makhluk Di Langit, Bumi dan Lautan

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ قَالَ ذُكِرَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلَانِ أَحَدُهُمَا عَابِدٌ وَالْآخَرُ عَالِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ

Dari Abu Umamah Al Bahili ia berkata; "Dua orang disebutkan di sisi Rasulullah SAW, salah seorang adalah ahli ibadah dan seorang yang berilmu, kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Keutamaan seorang alim dari seorang abid seperti keutamaanku dari orang yang paling rendah di antara kalian, " kemudian baginda melanjutkan sabdanya: "Sesungguhnya Allah, MalaikatNya serta penduduk langit dan bumi bahkan semut yang ada di dalam sarangnya sampai ikan paus dilautan, akan mendoakan untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (HR Tirmizi No: 2609)

Pengajaran:

1.  Kedudukan orang berilmu yang beramal adalah lebih utama daripada seorang ahli ibadah.

2.  Guru yang memiliki ilmu dan mengajar serta membimbing orang lain untuk menjadi insan solleh dan bertaqwa, semua makhluk di langit, bumi dan di dalam air mendoakan kebaikan untuknya.

3.   Fudlail bin Iyadl berkata; "Seorang alim yang mengamalkan ilmunya dan mengajarkan ilmunya akan dipanggil dengan kebesaran oleh para Malaikat yang ada di langit."

#########################

25) Guru Mempermudahkan Pengajaran

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمُوا وَيَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ

Dari Ibnu Abbas, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "hendaklah kalian mengajar, mempermudah dan jangan mempersulit. Bila engkau marah maka diamlah. Dan Bila engkau marah maka diamlah. Bila engkau marah maka diamlah." (HR Ahmad No: 2425)

Pengajaran:

1.  Berusahalah setiap kita menjadi guru, pendakwah, pendidik bagi menyampaikan ilmu untuk membimbing orang lain menjadi insan solleh.

2.  Sebagai guru, kita perlu mempermudahkan pengajaran sehingga orang yang diajar dapat memahami dan beramal dengannya.

3.  Sebagai guru, kita kadang-kadang berhadapan dengan pelbagai karenah dan perangai anak murid atau orang yang kita sampaikan dan nasihati. Kesabaran adalah perlu ketika berhadapan dengan pelbagai ujian dan perangai murid.

4.  Rasulullah mengulang tiga kali agar kita "DIAM" jika kita marah. Sebarang tindak balas akibat dari marah akan memudaratkan kita dan orang lain.

#########################

26) Sedekah Yang Paling Utama

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ أَنْ يَتَعَلَّمَ الْمَرْءُ الْمُسْلِمُ عِلْمًا ثُمَّ يُعَلِّمَهُ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

Dari Abu Hurairah bahwa Nabi SAW bersabda: "Sedekah yang paling utama adalah seorang muslim yang mempelajari satu disiplin ilmu kemudian mengajarkannya kepada saudaranya sesama muslim." (HR Ibnu Majah No: 239)

Pengajaran:

1.  Belajar adalah dituntut keatas setiap Muslim

2.  Muslim yang berilmu sewajarnya beramal dengan ilmu yang dimiliki

3.  Sedekah paling utama seorang Muslim apabila dia mempelajari satu ilmu, dia mengajar pula kepada orang Islam yang lain.

Marilah kita menjadi guru, pendakwah, murabbi  dengan membuat sedekah yang paling utama dengan mempelajari ilmu dan mengajar kepada orang lain. 

#########################

27) Dibangkitkan Bersama Orang Yang Dicintai Di Hari Kiamat

عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Dari Abu Wa`il dari Abdullah dari Nabi SAW bahwa baginda bersabda: "Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya." (HR Bukhari No: 5702)

Pengajaran:

1.  Berkawanlah dengan orang yang soleh dimana sahaja kita berada.

2.  Cintailah orang yang soleh kerana seseorang akan dibangkitkan di hari kiamat bersama dengan orang yang dicintai.

قِيلَ لِلنَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

“Ada yang berkata pada Nabi SAW, ‘Ada seseorang yang mencintai suatu kaum, namun ia tak pernah berjumpa dengan mereka.’ Nabi SAW  lantas bersabda, ‘Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.’” (HR Muslim  no:  2640)

Semoga orang yang kita cinta boleh memberi syafaat kepada kita di Syurga nanti.

28) Jadilah Orang Yang Kaya Hati

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati." (HR Bukhari No: 5965)

Pengajaran:

1.  Setiap orang perlu memiliki kekayaan.

2.  Kekayaan yang hakiki bukan pada harta yang banyak. Ramai orang yang Allah kurniakan harta padanya namun tidak merasa cukup dan puas  malah terus bekerja untuk menambah hartanya hingga tidak peduli dari mana harta itu diperolehi dan kemana sepatutnya dibelanjakan.

3.  Kekayaan sebenar adalah memiliki hati yang kaya dengan sifat dermawan

4.  Kaya hati adalah tidak memiliki sifat kedekut dan kikir.

5.  Jadilah orang yang sentiasa berusaha memenuhi hajat seseorang walaupun dia sendiri memerlukan.

Jadilah orang yang memiliki hati yang kaya dengan sifat dermawan, kasih sayang dan mulia.

#########################

29) Tidak Berhimpun Dua Sifat Bertentangan Pada Mukmin

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَجْتَمِعُ الشُّحُّ وَالْإِيمَانُ فِي جَوْفِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ وَلَا يَجْتَمِعُ غُبَارٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَدُخَانُ جَهَنَّمَ فِي جَوْفِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ

Dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan berkumpul antara sifat kikir dan iman dalam diri seorang mukmin, dan tidak akan berkumpul debu kerana jihad di jalan Allah dengan asap Jahanam didalam rongga seorang muslim." (HR Ahmad No: 9316)

Pengajaran:

1.  Dalam diri seorang yang beriman tidak akan berhimpun dua sifat yang bertentangan iaitu iman dan kikir.

2.  Dalam diri Muslim tidak akan berhimpun antara sifat jihad dengan sifat ahli neraka.

3.  Orang yang beriman akan menjadi seorang yang pemurah dan belas kasihan, jauh dari sifat kedekut.

4.  Muslim yang solleh tidak akan melakukan kejahatan yang akan dibalas dengan dosa dan neraka.

Janganlah ada elemen sifat buruk pada diri orang mukmin.

#########################

30) Antara Perbuatan Haram

عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنَعَ وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ

Dari Al Mughirah bin Syu'bah berkata; Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kalian durhaka kepada ibu, mengubur anak wanita hidup-hidup,  serta membenci kalian dari mempercayai setiap khabar yang tak tentu  sumbernya, banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta (boros)".(HR Bukhari No: 2231)

Pengajaran:

Rasulullah melarang setiap Muslim daripada melakukan perkara berikut:

1.  Durhaka kepada ibu bapa

2.  Menanam anak perempuan hidup-hidup

3.  Mempercayai kepada khabar yang tak tentu  sumbernya (sama ada melalui lisan juga media sosial seperti FB, Twiter, Whatsapp, Telegram, Akhbar dan lain-lain).

4.  Banyak bertanya yang bertujuan untuk menguji atau mengadu domba

5.  Boros terhadap harta .

Taatlah kepada kedua ibu bapa, kasihi anak-anak, memastikan setiap berita yang sampai pada kita diselidiki terlebih dahulu kesahihannya,  kurangkan bertanya dan berjimat dalam membelanjakan harta.

31) Sifat Orang Mukmin

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ

Dari Abdullah ia berkata; Rasulullah SAW  bersabda: "Tidaklah termasuk hamba yang mukmin, iaitu mereka yang selalu mengungkap aib (mencela), melaknat, berperangai buruk (berbuat keji)  dan suka menyakiti." (HR Tirmizi No: 1900)

Pengajaran:

Orang Mukmin adalah mereka yang menjauhi sifat berikut:

1.  Mengungkap aib (mencela) orang lain

2.  Melaknat orang lain

3.  Berperangai buruk (berbuat keji) 

4.  Suka menyakiti orang lain

Jauhilah sifat mencela, melaknat, berperangai keji dan menyakiti orang lain kerana pemilik sifat ini tidak tergolong dalam kalangan orang yang beriman.

#########################

32) Jaminan Syurga

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ

Dari 'Ubadah bin Ash Shamit bahwa Nabi SAW bersabda: "Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian." (HR Ahmad No: 21695)

Pengajaran:

Rasulullah SAW memberi jaminan setiap Muslim akan masuk Syurga jika memelihara enam perkara:

1.  Jujur jika berbicara
Ibnu Qayyim: Kejujuran adalah jalan yang lurus dimana orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran akan membezakan antara munafik dan beriman.

2.  Menepati janji
Tidak memenuhi janji adalah diantara sifat munafik.

3.  Menunaikan amanah
Amanah berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia yang wajib ditunaikan

4.  Memelihara kemaluan (kecuali untuk pasangan yang sah)

5.  Menundukkan pandangan
Ibnu Qayyim: menjaga pandangan adalah modal pokok untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak menjaga pandangannya, dia telah menempatkan dirinya ke tempat kehancuran

6.  Menahan tangan
Seorang Muslim tidak menganggu, menyakiti saudara Muslim yang lain, teman, maupun tetangganya baik dengan lisan maupun tangannya. Mereka merasa aman dengan kehadiran dirinya.

Ayuh kita berlaku jujur, tepati janji, tunaikan amanah, jaga kemaluan, tundukkan pandangan dan menahan tangan.

#########################

33) Malu Daripada Iman, Keji Daripada Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَيَاءُ مِنْ الْإِيمَانِ وَالْإِيمَانُ فِي الْجَنَّةِ وَالْبَذَاءُ مِنْ الْجَفَاءِ وَالْجَفَاءُ فِي النَّارِ

Dari Abu Hurairah, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Malu itu dari iman dan iman ada di syurga, sedangkan perkataan keji itu dari perangai yang kasar dan perangai yang kasar ada di neraka." (HR Ahmad No: 10108)

Pengajaran:

1.  Malu adalah hasil dari iman
Kata Ibnu Umar: Sesungguhnya sifat malu dan iman itu bersamaan, apabila salah satu tercabut, yang satu lagi turut tercabut.

2.  Iman itu tempatnya di syurga

3.  Perkataan keji berpunca dari perangai kasar dan huduh - ghibah, fitnah, dan caci maki bertebaran di media sosial

4.  Perangai kasar dan buruk tempatnya di neraka

Milikilah sifat malu dan menjauhi sifat buruk ahli neraka.

#########################

34) Tasbih digandakan pahala & dihapuskan dosa

عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ حَدَّثَنِي أَبِي قَالَ كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَكْسِبَ كُلَّ يَوْمٍ أَلْفَ حَسَنَةٍ فَسَأَلَهُ سَائِلٌ مِنْ جُلَسَائِهِ كَيْفَ يَكْسِبُ أَحَدُنَا أَلْفَ حَسَنَةٍ قَالَ يُسَبِّحُ مِائَةَ تَسْبِيحَةٍ فَيُكْتَبُ لَهُ أَلْفُ حَسَنَةٍ أَوْ يُحَطُّ عَنْهُ أَلْفُ خَطِيئَةٍ

Dari Mush'ab bin Sa'd Telah menceritakan kepadaku Bapakku dia berkata; "Kami pernah berada di sisi Rasulullah SAW. Setelah itu beliau bertanya: 'Apakah mampu salah seorang dari kalian memperoleh seribu kebaikan dalam sehari? ' Lalu salah seorang dari para sahabat bertanya; 'Ya Rasulullah, bagaimana mungkin seseorang akan mampu meraih seribu kebaikan dalam sehari? ' Rasulullah berkata: 'Ketahuilah bahwa orang yang bertasbih seratus kali akan dicatat seribu kebaikan untuknya dan dihapus seribu kesalahan darinya.'(HR Muslim No: 4866)

Pengajaran:

1.  Berzikir kepada Allah adalah antara amalan yang diperintahkan untuk dilaksanakan.

2.  Bertasbih adalah antara amalan yang boleh mendapat ganjaran pahala dan menghapuskan dosa.

3.  Orang yang bertasbih 100 kali sehari akan memperolehi 1000 ganjaran kebaikan berbentuk pahala dan dihapuskan 1000 kesalahan dalam bentuk pengampunan dosa.

Ayuh kita bertasbih…

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ حُطَّتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Dari Abu Hurairah radliallahu 'anhu bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mengucapkan 'Subhanallah wabihamdihi (Maha suci Allah dan segala pujian hanya untuk-Nya)  sehari seratus kali, maka kesalahan-kesalahannya akan terampuni walaupun sebanyak buih di lautan." (HR Bukhari No: 5926)

#########################

35) Zikir Yang Mendapat Pelbagai Ganjaran

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ كَانَ لَهُ عِدْلُ عَشْرِ رِقَابٍ وَكُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ وَمُحِيَتْ عَنْهُ مِائَةُ سَيِّئَةٍ وَكَانَ لَهُ حِرْزًا مِنْ الشَّيْطَانِ يَوْمَهُ ذَلِكَ حَتَّى يُمْسِيَ وَلَمْ يَأْتِ أَحَدٌ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ بِهِ إِلَّا أَحَدٌ عَمِلَ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang mengucapkan;
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
(Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah semata tidak ada sekutu bagiNya, milikNya semua kerajaan dan bagiNya seluruh pujian, Dia Yang menghidupkan, serta mematikan, dan Dia Maha Mampu melakukan segala sesuatu) dalam sehari sebanyak seratus kali, maka baginya seperti memerdekakan sepuluh hamba, dan tercatat baginya seratus kebaikan serta dihapuskan darinya seratus kesalahahan, dan ia terpelihara dari syaitan pada hari tersebut hingga petang, tidak ada orang membawa sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ia bawa kecuali seseorang yang melakukan hal tersebut lebih banyak. (HR Tirmizi No: 3390)

Pengajaran:

1.  Antara zikir harian yang digalakkan untuk diucapkan ialah kalimah

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Antara kelebihan yang dikurniakan kepada sesiapa yang  mengucapkan zikir di atas sehari sebanyak seratus kali:

a.  Baginya seperti memerdekakan sepuluh hamba

b.  Tercatat baginya seratus kebaikan (pahala)

c.  Dihapuskan darinya seratus kesalahahan (dosa)

d.  Terpelihara dari syaitan pada hari tersebut hingga petang hari

e.  Tidak ada orang membawa sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ia bawa kecuali seseorang yang berzikir dengan zikir di atas lebih banyak

#########################

36) Setiap Kebaikan Adalah Sedekah

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآَنِ أَوْ تَمْلَأُ مَا بَيْنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالصَّلَاةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَايِعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا

Dari Abu Malik al-Asy'ari dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Bersuci adalah separuh daripada iman, Alhamdulillah memenuhi timbangan, Subhanallah dan Alhamdulillah keduanya memenuhi, atau salah satunya memenuhi apa yang ada antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya. Sedekah adalah keterangan (bukti). Kesabaran adalah sinar (cahaya). Al-Quran adalah hujjah untuk amal kebaikanmu dan hujjah atas amal keburukanmu. Setiap manusia berusaha, maka ada orang yang menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsunya dengan dia melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), maka ada yang membebaskannya (daripada kehinaan di dunia dan azab di akhirat) dan ada yang membinasakannya (dengan melakukan maksiat) " (HR Muslim No:328)

Pengajaran:

1.  Iman terdiri daripada perkataan dan perbuatan. Ia boleh bertambah dan berkurang; bertambah dengan sebab amalan solleh dan ketaatan, berkurang dengan sebab maksiat dan dosa.

2.  Bersuci adalah separuh daripada iman kerana ia menjadi syarat sah ibadat dan kesan keimanan seseorang.

3.  Antara tanda bersyukur kepada Allah ialah dengan membanyakkan zikir melalui lisan seperti ucapan Alhamdulillah dan Subhanallah.

4.  Pahala zikir ini akan memberatkan timbangan amal kebaikan di hari akhirat.

5.  Solat yang dilaksanakan akan menjadi cahaya penunjuk kepada kebaikan dan menjauhi maksiat.

6.  Sedekah adalah keterangan (bukti) yang terang terhadap kebenaran iman.

7.  Kesabaran adalah sinar (cahaya) yang mengeluarkan bahang kepanasan dan boleh membakar. Ia memerlukan mujahadah terhadap jiwa.

8.  Al-Qur'an adalah petunjuk untuk melaksanakan amal kebaikan dan meninggalkan amal keburukan.

9.  Mukmin yang mulia adalah orang yang menjual dirinya hanya kepada Allah dengan melakukan ketaatan dan menjauhi syaitan dan hawa nafsunya dengan tidak melakukan maksiat dan kemurkaan Allah.

#########################

37) Orang Kaya Bertakwa Dan Sihat

حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ خُبَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَمِّهِ قَالَ كُنَّا فِي مَجْلِسٍ فَطَلَعَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى رَأْسِهِ أَثَرُ مَاءٍ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَاكَ طَيِّبَ النَّفْسِ قَالَ أَجَلْ قَالَ ثُمَّ خَاضَ الْقَوْمُ فِي ذِكْرِ الْغِنَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا بَأْسَ بِالْغِنَى لِمَنْ اتَّقَى اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَالصِّحَّةُ لِمَنْ اتَّقَى اللَّهَ خَيْرٌ مِنْ الْغِنَى وَطِيبُ النَّفْسِ مِنْ النِّعَمِ

Telah menceritakan kepada kami Muaz bin Abdullah bin Hubaib dari ayahnya dari pamannya berkata; Kami berada disuatu majlis kemudian Rasulullah SAW datang, di rambut beliau ada sisa-sisa air, kami berkata; Wahai Rasulullah! Kami melihat Baginda sedang bahagia. Rasulullah SAW bersabda: "Benar." Kemudian ketika ada orang berbicara tentang kekayaan. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya tidak berbahaya kekayaan apabila berada ditangan orang yang bertakwa kepada Allah dan kesehatan bagi orang yang bertakwa kepada Allah itu lebih baik dari kekayaan dan kebahagiaan jiwa itu termasuk kenikmatan." (HR Ahmad No: 22076)

Pengajaran:

1.  Bekerja mencari harta adalah tuntutan dan keperluan untuk diri, keluarga, masyarakat dan Negara

2.  Kekayaan yang dimiliki oleh orang yang bertakwa, tidak menyebabkan bahaya padanya kerana orang yang bertakwa akan memastikan sumber harta dari punca yang bersih dan halal. Orang bertakwa juga akan memastikan harta digunakan ditempat yang diredhai Allah.

3.  Orang bertakwa yang memiliki kesihatan adalah lebih baik baginya daripada kekayaan. Kesihatan akan memudahkan seseorang melaksanakan ibadat dan menyumbang kepada masyarakat dan Negara.

4.  Jiwa yang bahagia - tidak akan menjadikan harta matlamat hidupnya.  Bahagianya jiwa qanaah ini, sebahagian daripada nikmat anugerah Allah.

Milikilah sifat takwa dan sentiasa menjaga kesihatan agar dapat melaksanakan ibadah dan menyumbang kepada masyarakat dan Negara.

#########################

38) Yang Menyelamatkan Dari Neraka dan Memasukkan Ke Syurga

قُلْتُ ثِنْتَانِ أَسْأَلُكَ عَنْهُمَا مَا يُنَجِّينِي مِنْ النَّارِ وَمَا يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ قَالَ فَنَظَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى السَّمَاءِ ثُمَّ نَكَسَ رَأْسَهُ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيَّ بِوَجْهِهِ قَالَ لَئِنْ كُنْتَ أَوْجَزْتَ فِي الْمَسْأَلَةِ لَقَدْ أَعْظَمْتَ وَأَطْوَلْتَ فَاعْقِلْ عَنِّي إِذًا اعْبُدْ اللَّهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا وَأَقِمْ الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ وَأَدِّ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَصُمْ رَمَضَانَ وَمَا تُحِبُّ أَنْ يَفْعَلَهُ بِكَ النَّاسُ فَافْعَلْهُ بِهِمْ وَمَا تَكْرَهُ أَنْ يَأْتِيَ إِلَيْكَ النَّاسُ فَذَرْ النَّاسَ مِنْهُ

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya daripada Ibnu Al-Muntafiq: Aku telah bertemu Rasulullah SAW di Arafah.

Aku lalu berkata, "Aku ingin bertanya kepadamu dua perkara: Apakah yang dapat menyelamatkan aku daripada neraka, dan apa yang menyebabkan aku masuk syurga? ' Lalu Rasulullah SAW menengadahkan kepalanya ke langit dan menurunkannya lagi, kemudian menatapku dengan wajahnya, baginda bersabda: telah meringkaskan soalan kamu tetapi kamu telah bertanya sesuatu yang amat besar dan perjalanannya adalah jauh. Oleh itu berilah perhatian kepada jawapanku:  sembahlah Allah dan jangan kamu sekutukan dengan sesuatupun, dirikan solat yang difardhukan, keluarkan zakat yang diwajibkan, dan berpuasalah pada bulan Ramadan. Jika kamu ingin supaya manusia melakukan sesuatu (kebaikan) kepadamu, maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada mereka. Sebaliknya jika kamu benci orang lain melakukan keburukan itu kepadamu, maka kamu hendaklah terlebih dahulu tidak melakukan keburukan itu kepada mereka." (HR Ahmad No: 25901)

Pengajaran:

Rasulullah memberikan peringatan perkara yang boleh menyelamatkan seseorang daripada neraka dan memasukkan seseorang ke syurga:

1.  Menyembah  Allah dan jangan melakukan perbuatan syirik

2.  Menunaikan solat yang difardhukan

3.  Mengeluarkan zakat yang diwajibkan

4.  Berpuasalah pada bulan Ramadan.

Jika kita ingin supaya orang lain melakukan sesuatu (kebaikan) kepada kita,  maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada mereka.

Jika kita benci orang lain melakukan keburukan itu kepada kita, maka hendaklah terlebih dahulu kita tidak melakukan keburukan itu kepada orang lain.

#########################

39) Dunia Adalah Jambatan Akhirat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Dari Ibnu Umar radliallahu 'anhuma dia berkata;  Rasulullah SAW pernah memegang bahuku dan bersabda: Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara. Ibnu Umar telah berkata; Bila kamu berada di waktu petang,  janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan bila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang. Manfaatkanlah  waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu. (HR Bukhari No: 5937)

Pengajaran:

1.  Dunia adalah jambatan menuju akhirat. Jangan jadikan dunia sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Sebagai musafir di perjalanan, kita tidak membawa kesemua yang kita milik berbentuk harta untuk bermusafir. Kita hanya membawa sekadarnya.

2.  Seorang Muslim perlu bersegera melakukan amal kebajikan , memperbanyakkan ketaatan dan amal solleh.

3.  Elakkan dari bertangguh untuk melakukan amal solleh kerana kita tidak pasti apakah berkesempatan untuk melakukannya pada masa akan datang.

4.  Setiap Muslim perlu merebut peluang dan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Lakukan amal kebaikan ketika kita sihat dan masih hidup. Sakit dan ajal boleh berlaku bila-bila masa.

Rebutlah peluang beramal ketika kita muda, sihat, berharta, lapang dan semasa hidup ini.

#########################

40) Tersalah, Terlupa dan Dipaksa

عَنْ أَبِي ذَرٍّ الْغِفَارِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Dari Abu Dzar Al Ghifari ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku sesuatu yang dilakukan karena salah, lupa dan sesuatu yang dipaksakan kepadanya." (HR Ibnu Majah No: 2033)

Pengajaran:

1.  Allah maha pemaaf terhadap hamba-hambanya.

2.  Orang yang melakukan sesuatu secara tidak sengaja, maka ia tidak akan dicela dan dihukum disisi Allah.

3.  Ibnu Hajar: Kemaafan diberikan kepada seseorang jika melakukan sesuatu disebabkan tersalah, terlupa dan dipaksa.

4.  Setiap perbuatan taat dan maksiat memerlukan kepada niat untuk diberi pahala atau dosa. Jika perbuatan itu dilakukan bukan dengan niat seperti tersalah, terlupa atau dipaksa, maka seseorang itu tidak ditaklifkan  atau tidak dipertanggungjawabkan.

Semoga Allah mengampunkan sesuatu yang kita lakukan secara tersalah atau terlupa disebabkan kelemahan dan kejahilan kita.

#########################

41) Jalan Taqarub & Mendapat Kecintaan Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Allah berfirman; Siapa yang memusuhi wali-KU, maka Aku umumkan perang kepadanya.  Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada yang telah Aku wajibkan kepadanya. Tidaklah seseorang itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan  sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang ia jadikan untuk mendengar, dan pengelihatannya yang ia jadikan untuk melihat dengannya, dan tangannya yang ia jadikan untuk melakukan sesuatu, dan kakinya yang dijadikannya untuk berjalan, jikalau dia memohon kepada Ku, pasti akan Aku akan memberinya, dan jika meminta perlindungan daripada KU, pasti Aku melindunginya.  (HR Bukhari No: 6021)

Pengajaran:

1.  Wali Allah adalah orang yang taat dan ikhlas dalam beramal,  beriman dan bertaqwa – beramal dengan al-Quran dan Sunnah.

2.  Orang yang menyakiti mukmin yang bertakwa maka Allah akan membinasakannya.

3.  Melaksanakan amal fardhu adalah yang paling afdal dan disukai Allah.

4.  Meninggalkan maksiat adalah sebahagian daripada melaksanakan kefarduan.

5.  Mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan fardu juga melalui amalan sunat akan melayakkan seseorang hamba mendapat kecintaan Allah.

6.   Ibnu Rajab- sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan fardu dan sunat, darajatnya akan diangkat di sisi Allah. Jika dia bertutur, dia bertutur kerana Allah. Jika dia melihat, dia melihat kerana Allah.

7.  Diantara penghormatan yang Allah kurniakan  kepada kita ialah apabila kita meminta sesuatu, Allah akan memperkenankan. 

#########################

42) Ramadan Bulan Barakah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُبَشِّرُ أَصْحَابَهُ قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ يُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَيُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ

Dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW memberikan kabar gembira kepada sahabatnya: "Telah datang kepada kalian bulan ramadhan, bulan yang penuh barakah, bulan yang mana Allah mewajibkan kepada kalian berpuasa. Pada bulan itu pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka Jahannam ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu, dan pada bulan itu ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, maka barangsiapa terhalang darinya sungguh ia telah terhalang dari kebaikan." (HR Ahmad No: 8631)

Pengajaran:

Apabila Ramadan menjelang, Rasulullah mengingatkan para sahabat agar bersedia dengan kedatangan bulan yang penuh keberkatan dan kelebihan. Antara kelebihannya:

1. Ramadan adalah bulan yang diwajibkan keatas umat Islam berpuasa.

2. Ramadan adalah bulan ibadah. Pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup.

3. Bulan Ramadan dipermudahkan kepada umat Islam melaksanakan ibadah kerana syaitan telah dirantai.

4. Bulan Ramadan menyediakan satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu lailatul Qadar yg perlu diraih

5. Sesiapa yang terhalang dari merebut peluang untuk melaksanakan pelbagai ibadah di dalamnya, sesungguhnya ia telah terhalang dari mendapat kebaikan.
Sediakanlah diri dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Ramadan pada tahun ini.

#########################

43) Puasa dan Anugerah

عَنْ أَبِي صَالِحٍ الزَّيَّاتِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفِطْرِهِ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Dari Abu Shalih Az Zayyat bahwa ia mendengar Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Allah 'azza wajalla telah berfirman; 'Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu berpuasa, maka janganlah kamu rosakkan puasamu dengan rafats, dan jangan pula menghina orang. Apabila kamu dihina orang atau pun diserang, maka katakanlah, 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa.' Demi Allah, yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kesturi. Dan bagi mereka yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Ia merasa gembira ketika berbuka lantaran puasanya, dan gembira ketika berjumpa dengan Rabbnya juga karena puasanya." (HR Muslim No:  1944)

Pengajaran:

1.  Setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah untuk Allah dan hanya Allah yang akan memberi ganjaran pahalanya.

2. Puasa itu adalah perisai atsu pendinding seseorang dari melakukan perkara yang dilarang serta meninggalkan sesuatu yang diperintah.

3. Bagi orang yang berpuasa, mereka perlu menjaga puasanya dari dirosakkan dengan sebab perbuatan dan perkataan yang buruk serta hina.

4. Orang yang berpuasa, jika dihina, dimarah ataupun diserang, maka katakanlah: Sesungguhnya saya sedang berpuasa.

5. Bagi orang yang berpuasa, mulutnya mungkin akan berbau yang kurang enak, namun bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kasturi.

6. Untuk orang yang berpuasa, mereka akan dikurniakan dengan dua kebahagiaan:
a. Gembira ketika berbuka puasa
b. Gembira ketika berjumpa dengan Allah juga kerana puasanya.

Ayuh kita bersedia bersungguh-sungguh menyambut kedatangan Ramadan pada tahun ini. Semoga amal solleh kita bertambah.

Berusahalah mencari amalan Terbaik. Andaikan  Ramadan Terakhir Buat Kita.

#########################

44) Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Setahun Yang Lalu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". RH Bukhari No: 37.

Pengajaran:

1.  Berpuasa  atas dasar iman ialah melaksanakan ibadat puasa  dengan meyakini akan kewajipan melaksanakan ibadat puasa kerana perintah Allah.

2.  Ihtisab adalah melakukan ibadat puasa dengan ikhlas dan hanya mengharap pahala dari Allah. Tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Puasa yang dilakukan atas dasar keimanan dan penuh keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu (dosa kecil).

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانِ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اِجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
“Solat lima waktu yang didirikan satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar".( H.R. Muslim )

Semoga ibadat Puasa yang dilaksanakan  menjadi instrumen menghapuskan dosa-dosa kita setahun yang lalu

#########################

45) Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Dari Sahl RA, Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melewati pintu itu kecuali orang-orang yang berpuasa. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa?, maka orang yang berpuasa berdiri menghadap. Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut". HR Bukhari No: 1763

Pengajaran:

1.  Orang yang berpuasa pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).

2.  Tidak akan ada orang lain yang memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan kecuali orang yang berpuasa.

3.  Apabila semua orang yang berpuasa telah memasukki syurga melalui pintu ini, pintu tersebut akan ditutup. Itulah keistimewaan orang yang berpuasa Ramadhan.

Laksanakanlah ibadah puasa dengan bersungguh-sungguh, semoga menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.

#########################

46) Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Dari Abu Hurairahkatanya, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa menegakkan Ramadhan (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dll)  kerana iman dan penuh keikhlasan, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu" HR Bukhari No: 36

Pengajaran:

1.  Menegakkan Ramadan atas dasar iman bermaksud menghidupkan malam hari dengan solat sunat tarawih, solat witir, tilawah al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal solleh kerana meyakini akan amalan sunnah.

2.  Ihtisab membawa maksud mengharap pahala semata-mata dari Allah Ta’ala. Kita tidak merasa berat melaksanakan amal. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Semoga ibadat qiam di malam hari sama ada untuk solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi instrumen menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

#########################

47) Bersahur Membezakan Puasa Muslim

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Dari Amru Ibnu As, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
"Perbedaan antara puasa kita dengan puasanya Ahli Kitab adalah makan sahur." HR Muslim No: 1836

Pengajaran:

1.  Beribadat perlu mengikut sunnah Rasulullah SAW

2.  Ibadat puasa kita perlu berbeza dengan ibadat puasa ahli kitab iaitu makan sahur sebelum fajar.

3.  Bersahurlah walaupun dengan seteguk air atau sebiji kurma.

Bersahurlah sebagai suatu amalan Rasulullah untuk kita contohi.

#########################

48) Sahur Itu Barakah

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Dari Abi Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: "makan sahur itu berkah, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang dari kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah 'azza wajalla dan para malaikat-Nya bershalawat kepada orang-orang yang makan sahur." HR Ahmad No: 10664

Pengajaran:

1.  Makan ketika bersahur itu memiliki keberkatan. Antara bentuk barakah dari sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa.

2.  Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang yang bersahur.
Selawat Allah ke atas orang yang bersahur adalah pujian-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersahur, manakala selawat para malaikat ke atas mereka yang bersahur pula merupakan doa pengampunan dari malaikat buat mereka yang bersahur.

3.  Waktu sahur itu sendiri pula termasuk antara waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan.

4.  Jadikanlah waktu sahur sebagai satu daripada instrumen pengampunan dosa.

#########################

49) Sahur Waktu Mustajab Doa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Dari Abu Hurairah, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
“Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.” (HR Bukhari No:  1077)

Pengajaran:

1.  Sepertiga akhir malam adalah waktu istimewa untuk ahli ibadah

2.  Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) merupakan waktu mustajab doa

3.  Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) waktu Allah mengampunkan dosa kepada yang memohon pengampunan
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُون
Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon ampunan”           (QS. Adz Dzariyat: 18)

#########################

50) Melewatkan Sahur Menyegerakan Berbuka

 
عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ أَنْتَ يَا بِلَالُ تُؤَذِّنُ إِذَا كَانَ الصُّبْحُ سَاطِعًا فِي السَّمَاءِ فَلَيْسَ ذَلِكَ بِالصُّبْحِ إِنَّمَا الصُّبْحُ هَكَذَا مُعْتَرِضًا ثُمَّ دَعَا بِسَحُورِهِ فَتَسَحَّرَ وَكَانَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ

Dari Abu Dzar bahwa Nabi SAW bersabda pada Bilal: "Wahai Bilal, kalau subuh telah beranjak ke langit maka itu bukanlah subuh, subuh itu nampak seperti ini, " lalu baginda menyuruh untuk sahur dan baginda pun sahur seraya bersabda: "Umatku akan selalu dalam kebaikan selama mengakhirkan sahur dan mempercepat berbuka." (HR. Ahmad No: 20530)

‘Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad SAW adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/199)

Pengajaran:

1.  Rasulullah adalah contoh dalam kita melakukan ibadat termasuk amalan berbuka dan bersahur ketika berpuasa. Ia juga adalah amalan para Nabi.

2.  Antara amalan yang perlu dicontohi ketika berpuasa ialah segera berbuka apabila masuk waktu berbuka.

3.  Melewatkan bersahur juga merupakan amalan Rasulullah dan para sahabat yang kita digalakkan mengikutinya.

#########################

51) Sedekah Afdal Bulan Ramadan

عَنْ أَنَسٍ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ قِيلَ فَأَيُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ

Nabi SAW ditanya tentang puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan. Baginda menjawab: "puasa di bulan Syaban untuk memuliakan Ramadan, " Beliau ditanya lagi, lalu sedekah apakah yang paling utama? Beliau menjawab: "Sedekah di bulan Ramadan." Riwayat Tirmizi: No 599

وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
“Dan apa saja yang kamu sedekahkan, maka Allah akan menggantinya, dan Dia-lah Pemberi rezki yang sebaik-baiknya” (QS Sabaa’:39).

Pengajaran:

1.  Puasa yang paling utama dilakukan selain puasa di bulan Ramadan ialah puasa sunat di bulan Syaaban.

2.  Sedekah yang paling utama dilakukan ialah sedekah pada bulan Ramadan

3.  Sifat suka bersedekah adalah pengikat dan penghubung kasih sayang kita dengan orang lain

4.  Allah akan menggantikan apa yang disedekahkan dengan keberkahan harta di dunia dan pahala yang besar di akhirat.

Renunglah kisah ini:

Dari ‘Aisyah  bahwa keluarga Rasulullah  pernah menyembelih seekor kambing, kemudian disedekahkan kepada orang-orang miskin, lalu Rasulullah  bertanya: “Apa yang tertinggal dari (daging) kambing tersebut?”. ‘Aisyah  menjawab: “Tidak ada yang tertinggal darinya kecuali (bahagian) bahu (dari) kambing tersebut”. Maka Rasulullah  bersabda: “Itu berarti semua daging kambing tersebut tertinggal tetap dan kekal pahalanya kecuali bahagian bahunya”

Tingkatkan sedekah, derma, wakaf kerana itulah yang kekal dan menetap pahala kebaikannya untuk kita, meskipun secara mata kasarnya harta tersebut berkurang.

#########################

52) Pemurah Melakukan Amal Kebaikan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Dari Ibnu Abbas radliallahu 'anhu dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadhan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadhan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Qur'an kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus." (HR Muslim No: 4268)

Pengajaran:

1.  Rasulullah adalah contoh terbaik antaranya dalam sifat pemurah yang perlu kita ikuti.

2.  Setiap kita perlu berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian antaranya bersedekah kerana balasan amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

3.  Bersedekah termasuk di dalamnya menyediakan berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.

4.  Konsep "memberi"  (bersedekah)  harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan lain kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi - menghakis sifat kedekut & mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

5.  Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ

“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (QS an-Nahl: 96)

6.  Tadarus al-Quraan juga antara amalan yang digalakkan agar dapat menyemak bacaan yang betul.

#########################

53) Puasa, Sedekah & Qiamullail

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Dari Mu'adz bin Jabal bahwa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun di malam hari. (HR Ahmad No: 21116)

Pengajaran:

1.  Ibadat puasa menjadi benteng atau perisai daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah

2.  Puasa adalah perisai yang akan melindungi dari kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri dari terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah.

4.  Sedekah antara amalan yang boleh menjadi penghapus dosa

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebiji korma.  Bukhari  no 1413 & Muslim 1016

5.  Qiamullail merupakan antara amal kebaikan orang Mukmin

#########################

54) Sahur Dengan Kurma Kering

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

Dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW baginda bersabda: Sebaik-baik makanan ketika seseorang mukmin bersahur adalah tamar (kurma kering).” (Hadis Riwayat Abu Daud, 6/290, no. 1998. Shahih Ibnu Hibban, 8/253, no. 3475)

Ulasan:

1.  Bersahur adalah sunnah Rasulullah

2.  Sebaik-baik makanan untuk bersahur adalah kurma kering

3.  Kurma merupakan makanan paling kaya kandungan gula glukosa sekitar 55% gula dalam kurma berbentuk glukosa, sedangkan 45% lagi membentuk fruktosa.

4.  Glukosa dalam kurma akan cepat berubah menjadi fructose, kemudian diserap melalui sistem pencernaan untuk menjadi energi. Khususnya jaringan yang perlu tinggi energi, seperti: sel-sel otak, sel-sel saraf, sel-sel darah merah dan sel-sel tulang belakang.

5.  Selain glukosa, kurma juga mengandung sejumlah lemak, protein, dan beberapa vitamin seperti vitamin A, B2, B12. Kurma mengandung beberapa mineral, terutama kalsium, sulfat, sodium, fosfor, potassium, magnesium, florin, kuningan, manganese, cobalt, zinc, serta sejumlah selulosa

#########################

55) Bau Mulut Orang Berpuasa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال النبي صلى الله عليه وسلم: وَالَّذِي نَفْسُ ‏ ‏مُحَمَّدٍ ‏‏ بِيَدِهِ ‏‏ لَخُلُوفُ ‏‏ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Dari Abu Hurairah, Bersabda Nabi SAW: Demi diriku berada ditangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi.  HR Bukhari No: 1771

Pengajaran:

1.  Setiap kesusahan dan rasa kelaparan yang timbul kerana ketaatan akan memperolehi ganjaran yang manis di akhirat kelak.

2.  Pada hari kiamat, pada saat manusia dibangkitkan dari kubur, ciri-ciri orang yang berpuasa adalah bau harum yang akan keluar dari mulut mereka, yang keharumannya melebihi harumnya minyak kasturi.

3.  Allah akan mengganti bau mulut orang yang berpuasa  (dari makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa juga menahan seluruh pancaindera dan hati) dengan ganjaran yang besar di hari akhirat. Kerana sesungguhnya, puasa itu hanyalah untuk Allah dan Allah pula yang akan memberikan penghargaan dan balasan dengan nilaian yang hanya Allah yang tahu.

4.  Allah lebih menghargai dan menghormati bau mulut orang berpuasa daripada bau mulut orang tidak puasa. Jadi maksud kalimat tersebut lebih merupakan penghormatan kepada orang yang berpuasa. Kerana orang yang berpuasa, baunya mulut adalah sesuatu yang sukar untuk dihindari.

5.  Hal ini bukan bererti digalakkan kepada orang berpuasa agar mulut berbau tidak enak dengan tidak menggosok gigi. Menggosok gigi adalah amalan Rasulullah setiap kali sebelum solat termasuk ketika berpuasa.

6.  Orang yang benar-benar berpuasa semestinya hati orang tersebut bersih dan suci dari segala kotoran dan niat jahat, segala ucapan yang keluar dari mulut orang tersebut tiada lain adalah yang baik, dzikrullah dan perkataan menasihat serta mengajak orang lain kepada jalan Allah. Orang yang berpuasa seperti itu, maka Allah memberi penghargaan  kepada bau mulut orang tersebut dengan darjat yang indah dan tinggi kerana di hari akhirat nanti bau mulutnya menjadi wangi lebih dari kesturi. Rasulullah SAW pernah bersabda, "sebaik-baik kalimat, adalah kalimat yang mengajak orang kepada jalan Allah SWT".

#########################

56) Jaminan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kalian yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menghantar jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menjenguk orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua itu ada pada seseorang kecuali dia pasti akan masuk syurga." H.Riwayat Muslim No: 1707

Pengajaran:

1.  Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang solleh.

2.  Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah yang menunjukkan amal solleh.


3.  Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.

4.  Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menjenguk orang sakit merupakan sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup dalam masyarakat. Mukmin yang melaksanakannya semua itu pasti akan masuk syurga.

Ayuh kita bersegera menyantuni orang miskin, orang lemah, anak yatim sempena bulan Ramadan ini dengan sumbangan Ramadan. JOM bersegera menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat.

#########################

57)
58)

No comments: